Sepertinya Nur tidak betah lagi dengan keadaan di rumah. Mana dengan mengurus anak tiga orang yang masih kecil. Si sulung Puteri pun masih dengan ragamnya. Tak pernah habis. Suka sekali menangis menjerit. Tunjuk perasaan yang berleluasa. Tak dapat dikawal.
Seringkali Puteri menguji ibunya dengan tantrum yang amat hebat. sehingga ke suatu tahap Nur hilang pertimbangan dan menampar Puteri yang masih kecil, Tiga tahun lebih. Kalau diikutkan apalah yang Puteri faham. Tapi Nur dah hilang punca. Nur menyesal. Dalam semua tantrum Puteri dapat Nur tepis. Nur sabar dan memendam seribu rasa. Tapi pada kali tu Nur dah tak dapat bertahan lagi. Nur sentiasa berharap Puterinya memaafkan ketelanjurannya itu.
Ketika itu Nur dikurniakan pula cahayamata ketiga. Nur sentiasa berdoa agar kelahiran Dewi sebagai penawar buatnya. Sepanjang mengandungkan Dewi , Putra anakanda kedua Nur terpaksa dihantar di bawah penjagaan pengasuh. Keadaan Nur yang berbadan dua memang teruk. Muntah mabuk. Itu biasa. Merana dibuatnya. Tak lalu makan. Muntah sampai tahap keluar pahit. Buih. Tak ada apa yang nak dikeluarkan. Mujur sahaja tidak sampai tahap ditahan wad. Cucuk sana sini.Berlalunya sembilan purnama. Selamatlah Dewi dilahirkan ke dunia. Semua gembira. Semua bahagia. Selang hari hari membesarkan Dewi di depan mata. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Nur kembali pada perasaannya yang tidak betah. Tidak sabar lagi mengasuh anak-anak yang ragam sana sini. Duduk sepi di rumah. Tidak lagi keluar ke sana sini. Bersosial dengan kawan-kawan. Atau apa sahaja yang menghiburkan hatinya. Jika dulu bebas ke sana sini bersama teman taulan. Bekerjaya. Tidak terikat di rumah. Nur tak betah sebagai surirumah.
Nur berasa begitu tersepit dengan keadaan itu. Acapkali Nur suarakan isi hatinya kepada sang suami. Balik-balik suami suruh sabar. Itu sahaja. Burhan juga tidak tahu bagaimana memuaskan hati isterinya. Mungkin dia mencuba. Atau mungkin belum cukup mencuba.
Keadaan itu berterusan. Nur tak nampak jalan. Hilang pengharapan. Nur hilang punca. Nur hilang arah. Malam-malam yang sepi Nur mula bangun mencari jawapan di dalam Tahajud. Nur sedar. Tiada siapa dapat membuka jalan buatnya. Tiada siapa lagi yang dapat menolongnya. Hanya Robbul Jalil. Nur paksa diri untuk bangun. Terus bangun di malam-malam yang hening. Dalam susah payah menyusukan Dewi yang masih kecil. Yang tidur malamnya di dakapan ibu. Akan terjaga bila bau ibunya hilang.
Sesungguhnya Dia yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Tidak pernah tidur. Tidak pernah terlepas dari pengetahuan tentang hamba-hambaNya. Di suatu waktu yang membahagiakan Nur, munajat dan doa-doa Nur telah terjawab. Mashaa Allah. Subhanallah.
No comments:
Post a Comment