Sunday, 22 August 2010

Mujahadah Ramadhan: Penjanaan Daya Juang

http://muslimworker.com/wp-content/uploads/2009/03/mosque-masjid-bird-sunset-lighthouse-water.jpg

oleh: Siddiq Fadzil

(Teks Bicara Ramadhan Sempena Majlis Iftar Jama`iy 11 Ramadhan 1431H

Di Dewan Besar Kolej Dar al-Hikmah, Kajang, Selangor D.E.)

Ramadhan dengan segala amal penghayatannya memberikan sejenis pengalaman rohaniah yang unik dan istimewa. Kita semacam dalam keasyikan menjalani pelbagai amal yang disebut ihya' Ramadhan, sehingga peralihan waktu dari hari ke hari terasa begitu cepat. Andainya Ramadhan itu suatu deraan, tentu perjalanan waktunya terasa lambat dan panjang. Mungkin itulah yang namanya kelazatan ibadah atau ladhdhatu 'l-`ibadah. Mudah-mudahan kita dapat menikmati tahap kelazatan yang setinggi-tingginya.

Selain itu, kita juga dapat merasakan bangkitnya motivasi dari pedalaman hati nurani untuk melakukan self-improvement, meningkatkan kualiti diri menerusi penghayatan nilai-nilai unggul yang terumus dalam istilah inklusif taqwa. Memang sudah selayaknya bulan ini disebut madrasatu Ramadan, persekolahan Ramadhan yang intensif, padat dan terfokus pada komponen-komponen utama pendidikan nabawi: tilawah, tazkiyah dan ta`lim (3T).

لقد منّ الله على المؤمنين إذ بعث فيهم رسولا من أنفسهم يتلو عليهم آياته ويزكيهم ويعلّمهم الكتاب

والحكمة وإن كانوا من قبل لفى ضلال مبين. - آل عمران:164

Hari-hari Ramadhan sedapat mungkin kita padati dengan amal yang meliputi tiga tonggak misi tarbawi tersebut: tilawah yang kita hayati dengan amal tadarrus, membaca ayat-ayat kitab suci Ilahi secara yang lebih serius dan intensif; tazkiyah yang kita hayati dengan amal pemurnian dan penyihatan hati serta peningkatan kewaspadaan batin demi menghindari hal-hal yang mencemarkan kejernihan hati yang sedang berpuasa; sementara ta`lim pula kita hayati dengan pelbagai kegiatan keilmuan -- ceramah, taklim, tazkirah dan yang sejenisnya.

3T adalah gabungan padu kekuatan transformatif (quwwah taghyiriyyah), pencetus perubahan mendasar yang ditandai perbezaan nyata antara sebelum dengan sesudahnya. Kata min qabl… (meskipun sebelumnya…) dalam ayat tersebut adalah kata yang kental dengan makna transformasi, radical departure, perubahan radikal kaum mukminin generasi nabawi - dari gelita kesesatan kepada benderang cahaya kebenaran. Memang al-Rasul s.`a.w. adalah model terunggul pemimpin transformatif yang melahirkan umat baru, umat yang memiliki segala ingredients untuk memimpin dan menyelamatkan dunia.

Umat baru tersebut adalah generasi pejuang yang setia bersama Nabi s.`a.w., responsif terhadap perintah Allah dan Rasul-Nya dalam keadaan bagaimana sekalipun, termasuk ketika menempuh kegawatan sa`at al-`usrah melawan gempuran musuh. Demikianlah kualiti para lulusan madrasatu Muhammad, persekolahan nabawi Pembina tough generation, generasi yang tangguh dan perkasa. Mereka bukan generasi yang dimanjakan dalam keadaan serba selesa, tetapi generasi yang dididik dengan mujahadah, hempas pulas perjuangan melawan hawa-nafsu. Falsafahnya mudah: jika mampu mengalahkan nafsu, akan mampu mengalahkan yang lain-lain; sebaliknya jika gagal melawan nafsu, takkan berdaya menghadapi selainnya.

Mereka tidak hanya berjihad dalam erti tampil di medan tempur, lalu pulang setelah musuh dapat dikalahkan. Memang jihad juga memerlukan pembinaan watak pejuang dan fighting spirit yang tinggi. Tetapi mujahadah adalah perjuangan dalaman yang berterusan, dilaksanakan sepanjang masa, diulang-ulangi tanpa henti. Demikianlah makna mujahadah, kata yang terbentuk mengikut wazan mufa`alah. Memang kata tersebut mengandungi makna perulangan -- al-tikrar marratan ba`da ukhra. Justeru, musuh di medan tempur tidak akan bangkit setelah terpenggal kepalanya, tetapi lain halnya dengan musuh yang bernama hawa nafsu, sekali tumbang tidak bererti segalanya sudah berakhir. Biar berapa kali tumbang, ia tetap bangkit kembali.

Ternyata mujahadah adalah antara muatan madrasatu Ramadan yang paling kental. Bukankah sepanjang bulan ini urusan besar kita adalah melawan? Melawan nafsu, dan melawan kebiasaan. Kerana perlawanan itulah segalanya jadi berubah -- ibadat, makan, tidur, kerja harian, watak dan perilaku, segalanya berubah sesuai dengan semangat Ramadhan. Dan ternyata kita sebenarnya mampu berubah, tetapi bukan berubah sekadar untuk berubah. Berubah dalam konteks mujahadah adalah untuk menjadi al-mu'min al-qawiy (mukmin yang kuat), tough generation yang daya juangnya tak terkalahkan.

Mujahadah adalah salah satu teras pendidikan nabawi yang terbukti telah melahirkan generasi tangguh yang sanggup melawan ribut, berani menentang badai. Mereka adalah generasi yang telah menyebatikan mujahadah menjadi cara hidup hingga mendarah-daging, bergerak bersama denyut nadi, bergetar bersama degup jantung. Pendidikan mujahadah telah melahirkan pahlawan segagah `Ali (k.w.), pemuda berusia 20 tahun yang menyanggupi tugas mempertaruhkan nyawa menempati kamar bahaya (tempat tidur al-Rasul s.`a.w.) dalam peristiwa Hijrah. Bukan beliau tidak tahu risiko menempati kamar yang menjadi sasaran mata liar kumpulan teroris Quraysh, tetapi tetap disanggupinya dengan rela kerana pendidikan mujahadah telah melumpuhkan nafsu mementingkan diri dan keinginan bersenang-senang. Orang yang dikuasai nafsu takkan sanggup mengambil risiko seberat itu. Nafsulah yang sebenarnya menyebabkan seseorang menjadi pengecut. `Ali (k.w.) tidak takut kerana beliau adalah pahlawan yang terbina dalam pendidikan mujahadah. Pada suatu ketika beliau ditanya bagaimana perasaannya pada malam bahaya tersebut, katanya, "Itulah malam paling damai pernah kurasakan sepanjang hayatku".

Pendidikan mujahadah juga telah menampilkan wanita pejuang sehebat Asma' bint Abi Bakr (r.`a.). Dalam peristiwa Hijrah beliau diberi tugas menghantar bekalan makanan ke Gua Thawr, tempat persembunyian al-Rasul (s.`a.w.) dan pendamping setianya Abu Bakr al-Siddiq (r.`a.). Tugas ini juga tidak kurang berat dan bahayanya, mengingat bahawa selama tempoh persembunyian tersebut pihak Quraysh menjalankan operasi besar-besaran memburu Junjungan (s.`a.w.). Untuk melaksanakan tugas tersebut Asma', wanita muda berusia 23 tahun yang sedang sarat mengandung (7 bulan) itu harus berjalan kaki setiap hari sejauh sekitar 5 kilometer, terdedah kepada risiko tertangkap di tengah maraknya operasi jahat Quraysh. Dari mana datangnya kekuatan dan keberanian luar biasa wanita muda tersebut melaksanakan tugas berat dan berbahaya seperti itu? Dari mana lagi kalau bukan dari pendidikan mujahadah, melawan nafsu mementingkan diri, mengenyah keinginan hidup bersenang-senang. Justeru, pendidikan mujahadah telah menjadikan Asma' bint Abi Bakr (r.`a.) seorang tough lady dengan keluarbiasaan yang mencengangkan orang sepanjang sejarah.

Sesungguhnya pendidikan mujahadah telah menciptakan umat dan tamadun yang religious, bersih dan berintegriti moral yang tinggi. Demikianlah hakikatnya sebagaimana yang kita saksikan pada catatan sejarah umat generasi seratus tahun pertama (dari bi`thah hingga ke pertengahan era Umawi). Sepanjang tempoh tersebut hukum hudud zina hanya dilaksanakan sebanyak enam kali, walhal pada tahun-tahun menjelang pengutusan al-Rasul s.`a.w. kota Makkah merupakan sarang budaya maksiat. Di sana-sini berkibar bendera merah, yang menandakan bahawa di situ tersedia pelayanan seksual bagi yang menginginkannya. Sementara itu hukum hudud ke atas pencuri hanya dilaksanakan sebanyak empat kali sepanjang tempoh seratus tahun tersebut, walhal jenayah rompak-samun memang berleluasa dalam masyarakat Arab pra-Islam.

Masyarakat yang mengamalkan cara hidup mujahadah adalah masyarakat yang beradab, damai dan santun. Diriwayatkan bahawa setelah dua tahun menduduki jawatan Hakim, `Umar ibn al-Khattab menemui Khalifah Abu Bakr (r.`a.) memohon untuk mengundurkan diri kerana sepanjang tempoh tersebut tidak siapa pun datang mengadukan sebarang pertikaian.

Sempena Ramadhan bulan intensifikasi mujahadah wajar kita merenung isu ini secara serius, bagaimana mengembalikan mujahadah ke ranah pendidikan umat, dan mengembalikan mujahadah sebagai bahagian integral cara hidup kaum Muslimin. Sikap serius dalam isu ini akan membuka pelbagai jalan penyelesaian:

والذين جاهدوافينا لنهدينّهم سبلنا -- العنكبوت:69

KDH: 21 Ogos 2010

Friday, 20 August 2010

A b a h

7.25pagi, usai menghantar Suhail dan Sumayyah ke sekolah. Berpatah balik di setengah perjalanan, Suhail tertinggal beg. Nasib bulan puasa, kenalah sabar. Aku kembali kepada rutin asal seperti sebelum ni. Jam 5 pagi tadi hantar mak dan abah ke KL Sentral untuk menaiki KLIA ekspres untuk terbang ke Phnom Penh, misi bantuan rakyat muslim Kemboja. Turut serta beberapa ahli rombongan yang lain untuk menghantar sumbangan iftar dan baju kurung serta baju melayu sebagai pemberian Aidilfitri yang bakal disambut seluruh umat Islam kelak.

Semakin hari semakin terasa kasih sayang abah. Entah kenapa. Sebab usia abah yang semakin tua atau kerana diriku juga dimamah usia(macam dah tua beno yer). Sebenarnya perkara ni mula aku rasakan sejak 'kepulangan' abah dua tahun lepas. Mungkin sebab sebelum terjadinya abah terpaksa meninggalkan kami sekeluarga selama 6 tahun, aku tak pernah merasa semua tu. Abah garang. Tegas. Tapi open minded. Itu yang aku pasti dari dulu. Tapi abah tak pernah tunjuk ambil berat atau kasih sayang dia. I dont know about other fathers...but my father memang macam tu.

Sejak dua menjak selalu dengan dia(now im working with him at Global Peace Mission) ni memang aku sangat nampak dan merasakan perhatian dan kasih sayangnya. Kadang ada juga aku terfikir mungkin sebab perpisahan 6 tahun lalu menjadikan abah lebih peduli dan ambil tahun soal aku dan yang lain. Tapi aku tak pasti adik beradik yang lain rasa macamana. Tapi itu lah yang benar-benar aku rasakan kini.

Alhamdulillah. Semoga abah terus sihat dan bersemangat meneruskan perjuangannya. Minat kepada kerja amal dan kebajikan tak pernah hilang dan luput dalam diri abah. Walaupun 'tercampak' .di bumi asing, menjadi orang asing tanpa sesiapa pun, hanya keredhaan hati yang menjadi kekuatan. Sungguhpun aku tahu abah pernah jatuh. Samada abah sedang mencuba untuk bangun atau telah bangun tetapi di saat ini emak pun telah terlibat hampir 80-90% dalam kerja-kerja yang menjadi kesukaan abah sejak di bangku sekolah lagi.

14 Ogos 2010 yang lalu, ulangtahun pernikahan abah dan mak yang ke 29 tahun. Alhamdulillah. Semoga Allah terus kukuhkan ikatan kasih sayang abah dan emak serta kami anak-anaknya.



selamat tiba di Phnom Penh

Wednesday, 11 August 2010

Lebih bermakna

Pagi yang tenang. Setenang pagi-pagi Ramadhan yang lepas. Syukur ke hadrat Ilahi masih memberi peluang untuk ku menyambut bulan penuh barakah. Bulan terbukanya pintu-pintu syurga dan tertutup pintu-pintu neraka. Ayoh saudara rebutlah peluang Ramadhan kali ini. Yang pasti jadikannya yang lebih baik dari Ramadhan yang lalu. Mohon sama-sama untuk ingat mengingati dan nasihat menasihati. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna buat kita semua.

Hati girang menyambut 1 Ramadhan, menerima perkhabaran gembira dua orang tersayang yang bakal melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara, insyaAllah.

Iftar:

Rencananya iftar Madid di Ipoh Perak pada esok, Khamis 12 Ogos 2010.
Iftar Madid sekitar KL dicadangkan pada 22 Ogos (Ahad) atau 28 Ogos (Sabtu)



mengimbau kenangan, di muzium patung lilin



Ramadhan Kareem 1431 Hijrah