Showing posts with label terbitan akhbar. Show all posts
Showing posts with label terbitan akhbar. Show all posts

Wednesday, 31 October 2007

Kisah saudara di Selatan Thai...

Anak-anak Darul Aitam Pattani - Dahagakan ilmu

UTUSAN MALAYSIA, Bicara Agama, 22/07/2005

Rencana oleh: NAJIYYAH MOHD ASRI

Bulan Jun lalu penulis bersama kawan-kawan daripada Helwa ABIM (Hal Ehwal Wanita, Angkatan Belia Islam Malaysia) dan GPTD (Grup Pengkaji Tamadun Dunia) berpeluang menjejakkan kaki buat pertama kalinya di bumi Pattani, Selatan Thailand selama sepuluh hari (9-18 Jun 2005).

Peluang keemasan yang mungkin hanya tiba sekali seumur hidup ini tidak mungkin dapat kami lupakan begitu sahaja.

Kedatangan kami ke salah sebuah wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam dan berbangsa Melayu ini, adalah untuk menziarahi sebuah rumah anak yatim miskin perempuan atau lebih dikenali sebagai Darul Aitam Wal Masakin Lil Banaat.

Di samping itu, ia bagi menyempurnakan misi serta wadah perjuangan ummah yang dibawa oleh Helwa ABIM dan GPTD, dengan mengadakan kursus Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kepada guru-guru di Darul Aitam.

Sepanjang kunjungan kami di sana, komunikasi bukanlah masalah yang besar bagi kami kerana kebanyakan mereka mampu berbahasa Melayu dalam loghat atau dialek Kelantan.

Sungguhpun begitu, kami agak terkejut dan kesal kerana terdapat segelintir mereka yang tidak mampu langsung bertutur dalam Bahasa Melayu, sedangkan mereka memang berbangsa Melayu, terutamanya generasi muda.

Malah mereka lebih gemar bertutur dalam Bahasa Thailand sebagai bahasa interaksi harian mereka.

Jelas, sistem pembelajaran di sana begitu kuat dipengaruhi kuasa Siam atau Thailand.

Yang lebih menyedihkan, ialah komuniti Islam di sana terpaksa membangun sendiri kebanyakan sekolah, kolej atau pusat pengajian serta rumah-rumah perlindungan untuk anak-anak yatim dan miskin.

Ia termasuklah Darul Aitam Wal Masakin Lil Banaat yang kami kunjungi.

Darul Aitam menempatkan lebih kurang 200 orang anak yatim miskin perempuan dalam lingkungan umur 10 hingga 17 tahun.

Mereka datang dari beberapa daerah lain seperti Narathiwat, Yala, Bangkok selain dari daerah Pattani sendiri.

Di sinilah mereka mendapat perlindungan serta pendidikan yang boleh dikatakan begitu sedikit dan masih banyak kekurangannya.

Berkat

Namun di sini jugalah jiwa mereka diisi dengan ilmu mengenal Tuhan Yang Esa serta didikan agama yang sempurna.

Ini semua adalah berkat usaha keras Pengurus Darul Aitam, Ustazah Maryam Samoh atau lebih mesra dengan panggilan Ummi.

Tersentuh hati kami sewaktu mendengar cerita Ummi pada satu hari ketika kami makan tengahari bersamanya.

Cerita Ummi: “Empat hari kami makan hanya berlaukkan kangkung yang tumbuh di belakang pondok kami.

“Sungguhpun begitu, kami sudah berasa cukup dengan rezeki yang Tuhan beri.

“Dengan kuasa Allah, ikan timbul dengan banyaknya di kolam berhampiran sehingga cukup untuk kami menikmatinya selama empat hari pula.”

Itulah antara keajaiban dan kekuasaan Allah terhadap hamba-Nya yang sentiasa bersyukur.

Kisah ini cukup membuat kami insaf dengan kesenangan dan kemewahan hidup yang kami kecapi di tanah air sendiri.

Begitulah sukarnya kehidupan mereka, walaupun adakalanya rezeki mereka lebih daripada biasa dengan adanya sumbangan masyarakat sekeliling yang turut bersimpati.

Sepanjang kursus yang dijalankan, kami dapat melihat kesungguhan guru-guru tersebut menuntut ilmu yang disampaikan.

Nyata, mereka begitu dahagakan ilmu dan begitu mengharapkan kedatangan insan-insan yang sudi mencurahkan ilmu kepada mereka sebagai bekalan mendidik anak-anak di sana.

Mereka tidak pernah mengeluh, walaupun ada ketikanya mereka tidak menerima sesen pun sebagai ganjaran.

Malah mereka bertekad untuk terus berbakti pada anak-anak yang kurang bernasib baik di situ.

Masih terbayang kegembiraan yang terpancar di wajah setiap warga Darul Aitam kala menyambut kehadiran kami.

Namun, adat pertemuan pasti ada perpisahan. Walaupun berat hati meninggalkan mereka setelah kemesraan kian terjalin, tapi apakan daya, misi kami telah pun dilaksanakan dan tiba masanya untuk kami pulang.

Sebagaimana yang telah kami jangka, tangisan mengiringi pemergian kami.

Dalam perjalanan pulang, kami tidak terlepas daripada memikirkan soalan yang bertalu-talu diajukan kepada kami.

“Adakah kami akan ke sana lagi? Bila?”

Sukar kami menjawabnya, namun pasti kami akan kembali ke sana sekiranya berpeluang lagi, insya-Allah.

Doa kami semoga mereka sentiasa berada di dalam lindungan Ilahi.

Semoga kesusahan dan kekurangan tidak menjadi penghalang bagi mereka mengecap nikmat hidup di dunia dan akhirat dengan adanya keprihatinan insan lain yang lebih bernasib baik seperti kita yang berada di bumi bertuah ini. [Utusan Malaysia]

Jejak Bumi Minang...


Berbakti di bumi Minang secebis pengalaman berharga

UTUSAN MALAYSIA, Bicara Agama, 02/09/2005

OLEH: NAJIYYAH MOHD ASRI

PENGALAMAN serta peluang menjejaki bumi Minang sangat bermakna dan banyak meninggalkan kenangan kepada saya dan teman-teman.

Kami merasa sungguh bertuah kerana terpilih sebagai sukarelawati oleh Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) dan Ikatan Kreatif Anak-Anak ABIM- PKPIM atau IKRAK untuk melakukan khidmat sosial di negara jiran yang serumpun pada 14 April lalu.

Walaupun rata-rata kami masih menuntut di universiti, namun usia muda tidak menghalang kami berbakti di negara jiran yang sering dikaitkan dengan kemiskinan, dan lebih menyedihkan lagi sesetengahnya menderita akibat mundur dari segi ekonomi dan teknologi serta sering dilanda bencana.

Pesawat dari lapangan terbang KLIA ke Padang hanya mengambil masa kurang satu jam, membuatkan saya tidak sempat terlena. Apatah lagi ini merupakan kali pertama saya menaiki pesawat, rugi rasanya melepaskan peluang menikmati panorama indah serta kehijauan alam ciptaan-Nya.

Setibanya di sana, kami terus ke destinasi, sebuah pondok pesantren (sekolah agama) yang dikenali sebagai Pondok Pesantren Prof. Dr. Buya Hamka di Batu Nanggai, Maninjau.

Kami terpukau dengan keindahan pemandangan sekeliling serta sebuah danau yang terbentang luas di hadapan pondok tersebut.

Ia terbentuk kesan daripada letupan gunung berapi suatu ketika dahulu.

Sekali-sekala cuaca dingin di sini, terutamanya pada waktu malam membuatkan saya terasa seperti berada di Tanah Tinggi Cameron.

Segala teka-teki yang bermain di minda terjawab apabila melihat sendiri kesusahan serta kemunduran hidup sebahagian besar masyarakat di Sumatera Barat, Indonesia ini.

Tidak hairanlah mengapa Malaysia menjadi pilihan utama bagi mereka mencari lebih pendapatan untuk menyara kehidupan yang daif itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan ekonomi dan pembangunan di situ tidak jauh bezanya seperti di Malaysia pada era 60-an dan 70-an dahulu.

Kemunduran ini jugalah yang menjadi penghalang bagi sesetengah mereka untuk mendapat pendidikan sempurna, terutamanya bagi generasi muda yang bakal menjadi peneraju utama negara tercintanya kelak.

Pondok Pesantren Prof. Dr. Buya Hamka diasaskan oleh seorang aktivis sosial, Pak Bashir dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Di sinilah anak-anak saudara baru, yatim dan yang kurang berkemampuan berteduh mendapatkan secebis ilmu duniawi dan ukhrawi sebagai bekalan hidup mereka nanti.

Sepanjang berada di sini, barulah saya sedar betapa susahnya menjalankan aktiviti harian tanpa kemudahan asas, seperti air yang masih tidak dapat menampung kehidupan harian penduduk di sini.

Kedatangan kami ke Ranah Minang ini bertujuan mengadakan program bersama santri-santri (pelajar-pelajar) di pondok pesantren tersebut, termasuk pengajaran Bahasa Inggeris, kemahiran komputer dan kemahiran belajar.

Sungguhpun kami kurang berpengalaman, namun kesungguhan mereka menjalankan aktiviti yang diadakan, membuatkan kedatangan kami terasa begitu dihargai.

Lantas kami berusaha mencurahkan segala ilmu yang ada tanpa mensia-siakan peluang yang begitu berharga.

Kami berpeluang membina hubu-ngan yang lebih akrab bersama penduduk setempat, apabila sempat mengadakan kuliah agama bersama kaum ibu, selain memenuhi undangan majlis perkahwinan yang turut diserikan dengan adat istiadat Minangkabau yang masih kuat menjadi amalan hidup mereka.

Selain itu, kami juga berpeluang me-ngajar Bahasa Inggeris kepada anak-anak di Sekolah Dasar (sekolah rendah).

Bahasa tersebut agak asing bagi mereka berbanding kita di Malaysia. Tak menang tangan juga dibuatnya apabila harus berdepan dan melayani kerenah anak-anak ini.

Namun, itulah pengalaman yang dapat saya kutip untuk dibawa pulang sesudah bumi Minang ditinggalkan, dan sudah pasti menjadi kenangan manis buat kami semua.

Belum pun puas mandi di danau, menikmati pensi (sejenis kerang) dan rinyuk (sejenis ikan), menghafal lagu `ayam den lopeh’ (sebuah lagu yang menjadi simbol masyarakat Minang, malah juga terkenal di kalangan orang Malaysia), warga bumi Maninjau yang begitu gembira menyambut kehadiran kami terpaksa ditinggalkan.

Selesai sudah misi yang ingin kami laksanakan, dan sebagaimana pepatah Melayu menyebut `Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’, begi-tulah terasa seperti Malaysia sudah memanggil-manggil kepulangan kami selepas lebih tiga minggu kami tinggalkan.

Pesawat Padang ke KLIA sunyi tanpa bicara saya serta teman-teman. Berbeza ketika menaiki pesawat dari KLIA ke Padang tempoh hari.

Kala itu terasa ingin melayani perasaan sendiri. Mungkin begitulah juga teman-teman yang lain. Perasaan ketika itu bercampur baur, gembira kerana akan kembali ke tanah air sendiri, bersyukur kerana dikurniakan peluang sebegini, namun terbelakah nasib mereka di sana? Apakah kesudahan penderitaan mereka?

Bermacam-macam yang bermain di benak saya. Yang pasti semoga kehadiran kami yang singkat itu menjadi inspirasi dan pendorong bagi mereka menjalani hidup anugerah Ilahi dengan penuh keazaman dan kesabaran.

Lantas menyedari masih punya insan yang prihatin terhadap kesusahan yang mereka tanggung.

Dan siapakah lagi yang dapat meringankan beban golongan malang ini kalau bukan kita yang diberi keupayaan serta yang lebih bernasib baik di muka bumi ini.[Utusan Malaysia]



(update: Danau Maninjau in 2009)